Bismillahirrahmanirrahim . Assalamualaikum
para pembaca budiman. Semoga dirahmati Allah s.w.t. untuk diri dan keluarga.
Tak dilupakan juga semoga semua ruh arwah di Kubur Pedas dicucuri rahmat Allah
s.w.t. jua – Al-Fatihah, kita fardhiahkan untuk para penghuni pusara ini –
segelintir diantara mereka adalah nenek-moyang kita yang merintis pembukaan
kampung ini dan membolehkan kita lahir dan hidup di bumi bertuah Changkat
Tualang. Sebenarnya sudah lama terbenam di lubuk hati untuk mendokumentasikan
sesuatu mengenai kampung kita agar ia dapat dijadikan rujukan generasi Tualang
yang mendatang – bak kata arwah Pak Mat Ali “mencari pencerahan”… Namun tak
kesampaian dek ditengah kesibukan hidup yang tak kunjung reda. Walau bagaimanapun
selepas seminggu-dua majlis MAPES 1 diadakan, Pengerusinya, saudara Zainuddin
(Nai) menelefon saya untuk melaporkan bahawa terdapat sedikit baki wang kutipan
dan mereka cadangkan untuk diguna bagi menganjur satu lagi majlis seumpamanya sempena
hari raya Aidil fitri yang akan disambut tak lama lagi. Saya terus ‘bangkang’
kerana kalau terlalu rapat dan kerap majlis seumpama itu diadakan akan
mengundang rasa muak dan jemu, Bahasa Inggerisnya barangkali “anti-climax”.
Justeru saya mengesyorkan apa kata kita laburkan untuk pembikinan satu manuskrip
yang dapat menyingkap sejarah dan perjalanan kampung untuk tuntunan semua. Saya
tawarkan diri sebagai ketua editor dan berjanji akan mengalas tanggungjawab
untuk merencana dan menggerakkan kerja. Saya minta dia bawa usul ini ke
mesyuarat “post-mortem” dan syukur Alhamdulillah dipersetujui semua. Pendekkan
cerita, setelah kerangka kandungan di buat, ramai yang ke hadapan membantu.
Antaranya cucu arwah Pak Mat Ali (Amirul Hisham) yang datang sendiri ke pejabat
saya di UM untuk menyampaikan satu naskhah tulisan datuknya yang amat bernilai
untuk anak Tualang. Dari saat itu semangat yang sedang membakar dan terkobar
ini seolah dipukul satu lonjakan halus bukan kepada saya seorang tetapi turut
dirasai Si Edd (Hanusi Hashim) dan adik saya sendiri, Azali Idris. Edd anak
arwah Pak Tam ini terus membuka silat mengkoordinasikan pelbagai tugas: cari
bahan, menulis, grafik dan lain-lain. Beliau turut dibantu oleh yang lain seperti Yeop Idan,
Al Hanaz anak Eid (grafik). Bersama menyingkap tabir si Key (Zahari Yunus). Naman
Pak Let, Kama Pak Md. Ali, Kama Pak Man, Pot dan Huzaimah Pak Imam Mohammad,
Sanggam, Mie Pak Wok dan Othman Shariff (mereka ini membantu dalam mengesan
taburan rumah di KCT) . Adik saya pula sibuk merungkai sejarah yang kelam dek diselaputi
ketandusan punca. Setelah 2-3 kali berjumpa diantara kami, maka satu jelmaan
lembaga Tinta Tualang terbayang di ufuk penerbitan. Akhirnya dengan izin dan
kehendak Allah Subhanalah Taala, Tinta
Tualang bukan jelmaan lagi tetapi satu realiti yang bersusuk segak dan “macho”
untuk hidangan halwa mata para pembaca. Bagi anak Tualang yang jauh di perantauan membaca tinta ini boleh mengubat rindu kampong. Bagi semua, kalau
kita buta-sejarah, maka sejarah akan menghukum kedangkalan kita dengan
kekecewaan hidup. Siapa tahu, sejarah bumi Tualang ini mungkin merahsiakan
sesuatu misteri yang masih belum terungkai dan barangkali bermanfaat untuk
berlayar di samudera akhir zaman - yang ombaknya menggunung ditiup ribut taufan
yang mengganas di bawah naungan awan gelap dan percikkan halilintar yang
mengerikan. Di kala itu permata Tualang yang tersinar pada satu ketika dahulu akan
berkilauan dan bergemelapan menyinari ruang keimanan dan ketauhidan. Syabas
dan terima kasih saya kepada semua yang telah secara langsung atau tak-langsung
berbakti untuk merealisasikan warkah ini terutamanya pada Edd, Li dan nama-nama
yang tersebut di atas tadi.
Dari : Profesor Datuk Dr, Azarae Hj. Idris.