Catatan Yang Ditampilkan

Sekapor Sireh

Bismillahirrahmanirrahim . Assalamualaikum para pembaca budiman. Semoga dirahmati Allah s.w.t. untuk diri dan keluarga. Tak dilupakan ...

Khamis, 8 Januari 2015

ANAK TUALANG PERDANA MENTERI MALAYSIA PERTAMA???

Apakah pernyataan tajuk di atas satu lamunan di siang hari atau menggarut semata-mata?  Tetapi sepastinya tidak gitu – ia hanya satu realiti yang tidak kesampaian  - tidak diizinkan Allah SWT kerana mungkin mengandungi  hikmah yang tersurat. Bagi anak Tualang dari generasi Y & Z nama Dr. Burhanuddin satu yang pasti asing – malah bagi kelahiran generasi X seperti penulis sendiri nama insan yang hebat ni agak samar – antara tau dan tak tau saja. Memang tepat apa yang diperkatakan oleh beberapa artikel dalam media maya  bahawa Dr. Burhanudin Al-Helmy ialah seorang pejuang kemerdekaan yang dilupakan.
Siapakah Dr. B ini? Kerana kehebatan yang ada padanya, telah banyak penulisan mengenai biografi beliau dihasilkan, maka tak perlu penulis mencari bahan. Di bawah ini saya paparkan salah satu dari biografi tersebut: Nama asalnya ialah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohammad Noor. Beliau dilahirkan pada 29 November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak. Pak Doktor ini berasal daripada keturunan ulama dan sufi dari Sumatra yang berhijrah ke Tanah Melayu pada 1908 ketika berusia 18 tahun. Bapanya, Haji Muhammad Noor, adalah seorang alim dari Batu Sangkar, Tanah Datar, Minangkabau yang mengajar tasawuf dan mengusahakan ladang tani. Beliau pernah berguru dengan Sheikh Mohammad Khatib al-Minangkabawi dan beberapa pemuka agama di Mekah. Ibunya Sharifah Zahrah Habib Osman adalah wanita Melaka daripada suku peranakan Arab-Melayu. Mereka bertemu di Perak setelah Haji Muhammad Noor kembali dari menunaikan haji.”
Sedikit ulasan dari penulis: Ibu beliau adalah dari jurai individu yang membuka kampong kita. Maksudnya datok Dr. B dari sebelah ibunya adalah seorang dari enam anak beranak yang terlibat meneroka membuka kampong kita, iaitu 5 orang anak moyang Endin (termasuk bapa kepada bonda Dr. B) dan seorang menantu beliau. Di antara lima orang adik beradik tersebut , hanya datuk Dr. B memakai nama “Habib”. (Rujuk penulisan sejarah pembukaan kampong oleh Azali Idris dalam makalah ini).
Itulah asal usul Dr. B – sahih orang kita! sah darah kita! Apakah pula kehebatan beliau yang nak kita agung-agungkan? Sekali lagi saya sorot pembaca kepada penulisan oleh ‘orang luar’. Jadi teman taklah angkat bakul orang kampong dan waris sendiri – itu tak aci.

PENDIDIKAN
Dr. B mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Behrang Ulu dan kemudian di Bakap sehingga darjah tiga. Pada sebelah petangnya, Dr. B mengikuti kelas al-Quran dan agama. Pada waktu lapang, Dr. B belajar ilmu perubatan Melayu seperti jampi-jampi dan mantera daripada seorang datuk saudaranya. Dr. B dikatakan menyalin bahan-bahan ramuan untuk ubatan-ubatan Melayu itu.
Selepas bersekolah di Bakap, beliau berpindah pula ke sekolah di Kota Bahru (Perak) dan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan dengan menerbitkan akhbar mingguan iaitu Berita Minggu yang menyiarkan berita berita di dalam dan di sekitar kampungnya.
Pada tahun 1924, setelah tamat sekolah Melayu, Dr. B dihantar oleh bapanya ke Sungai Jambu, Sumatera untuk mendapatkan pendidikan Islam. Beliau hanya belajar selama 6 bulan di sana kerana tidak setuju dengan cara pendidikan yang dijalankan di sekolah agama itu. Sistem menadah tangan dan menghafal kitab yang sama tidak disukai oleh Dr. B.  Beliau menyambung pelajaran di  Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah dan hanya dapat bertahan sebulan sebelum bertukar ke Madrasah al-Masyhur al- Islamiyyah, Pulau Pinang pada 1927.  Di sini, Dr. B belajar sehingga tamat Thanawi (menengah atas) pada tahun 1934.
Dr. B kemudiannya ditawarkan biasiswa oleh hartawan India Islam di Pulau Pinang untuk melawat dan meneruskan pengajian di India. Dr. B merupakan anak Tualang pertama, dan entah-entah anak Melayu pertama mendapat ijazah kedoktoran (Ph.D)  dalam bidang falsafah dan sastera dari Aligarh Muslim University, India. Semasa di sana, Dr. B sempat belajar bidang homeopati di Ismailiah Medical College sehingga memperoleh ijazah. Beliau juga mendapat kelulusan Doctor of Naturopathy dari School of Naturopathy, London secara ijazah luar kampus. Dr. B turut dianugerahkan Ijazah kehormat “Doctor of Divinity” daripada International Academy Canada, kerana penglibatan luas beliau dalam bidang perubatan homeopati.
Dari segi kebolehan bertutur, Dr. B menguasai dan fasih bercakap 7 bahasa besar dunia: Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman, di samping Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sendiri. Malah, beliau juga seorang ahli tafsir al-Quran dan al-Hadis yang ulung dan menguasai nahu saraf dan segala yang berhubung dengan sastera Arab.

PERJALANAN KERJAYA
Sekembalinya dari belajar di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin kembali bertugas sebagai guru Bahasa Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Aljunied, Singapura. Sempat menjadi Penasihat Hal Ehwal Islam & Adat Istiadat Melayu ketika pendudukan Jepun dari 1942-45. Beliau turut menawarkan khidmat perubatan homeopati di dua cawangan kliniknya, di Johor Bharu dan di Jalan Picitan, Singapura yang dibina dengan bantuan seorang doktor India, Dr N. Rajah. Itu saja yang penulis dapat catatkan bagi diari kerjaya Dr. B kerana lakaran periode kerjaya beliau ringkas sekali apabila terjun ke arena perjuangan politik tanah air mulai 1945. 

PENGLIBATAN POLITIK dan PEJUANG BANGSA
Penglibatan awal politik Dr. B adalah dalam Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945, yang digalakkan oleh pihak Jepun. Melalui KRIS, Dr. B dan Ibrahim Yaakob ingin membawa Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia apabila Jepun berundur nanti. Atas matlamat inilah satu perundingan dan perbincangan telah diadakan antara brahim Yaakob dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945. Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Dr. B apabila rancangan untuk merdeka dalam Indonesia Raya tidak dapat dilaksanakan kerana penyerahan diri Jepun secara mendadak pada 15 Ogos 1945. Dengan itu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu juga gagal. Kegagalan ini sedikit menghampakan Dr. B Jika usaha ini berjaya kita mungkin dapat membayangkan Dr. Burhanuddin al-Helmy akan menjadi Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, seorang pemimpin yang menggabung jalinan semangat kemelayuan, nasionalis tulen dan semangat keislaman.
Apabila rakannya (Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussein dll)  menubuh  Kesatuan Melayu Muda (KMM) untuk menentang pendudukan British dan Jepun, Dr. B turut menyertai dan memimpin gerakan tersebut.  KMM adalah parti politik Melayu yang pertama yang bercita-cita memperjuangkan kemerdekaan di atas prinsip perpaduan aliran nasionalis, agama dan sosialis. Dr. B kemudiannya bersama-sama Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhamad (Pak Sako) dan lain-lain menubuhkan PKMM yang merupakan sebuah parti progresif kesinambungan dari KMM yang juga berpegang pada prinsip yang sama.
Demi perjuangan yang terbentang dihadapannya, Dr. B telah membentuk Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada tahun 1947. Gabungan badan-badan politik Melayu progresif ini telah membentuk front persatuan dengan AMCJA. Gabungan badan progresif Melayu dan bukan-Melayu ini menjadi satu front persatuan bersifat nasional yang kuat dan julung-julung kali berlaku dalam sejarah tanah air. Akan tetapi, kerana perkembangan kekuatan patriotik-demokratik ini telah memberi ancaman hebat ke atas kekuasaan penjajah, ia telah diharamkan oleh British dalam Undang-undang Darurat.
Pada tahun 1955, Dr. B adalah antara tulang belakang dalam penubuhan Partai Rakyat Malaya (PRM). Setahun kemudian, pada 1956, beliau telah dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga menggantikan Dato' Dr Haji Abbas Alias.  Pada Pilihan Raya Umum 1959, Dr. B telah memenangi Kerusi Parlimen Besut, Terengganu. 

EPISOD PENAHANAN & KEMATIAN
Darah pejuang yang mengalir dalam tubuh anak Tualang ini mengundang keperitan dalam perjalanan hidupnya. Seawal sekitar tahun 1928 ketika berada di Turki Dr. B   telah ditahan oleh pihak British kerana terlibat dalam perarakan anti-British menentang Perjanjian Balfour yang berkesudahan dengan pembentukan negara Israel. Pada tahun 1937, beliau dipenjarakan oleh penjajah British kerana menerbitkan majalah Taman Bahagia yang menyebarkan semangat kemerdekaan. Beliau sekali lagi dibenamkan ke dalam jel penjajah British dari tahun 1950-53 kerana memimpin masyarakat Melayu melancarkan perjuangan menentang keputusan mahkamah (kerajaan British) di Singapura dalam kes Natrah.  Tak cukup dengan kebencian British, pada tahun 1964 Dr. B dipenjarakan di Kamunting, Taiping dibawah  Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA)  kerana kononya menjadi ejen Indonesia dan terlibat dengan kegiatan menentang penubuhan Malaysia. Walaupun dibebaskan pada 1966, Dr. B masih dibawah tahanan terhad yang menyekat pergerakan bebas beliau untuk meneruskan perjuangan. Penulis masih samar-samar ingatan tentang kesoronokan keluarga dan orang kampong menyambut pembebasan Dr. B tetapi kesoronokan itu hanya sebentar kerana pada tanggal 10 Oktober 1969 beliau kembali kerahmatullah akibat penyakit lelah dan juga kesan seksaan yang diterima semasa dalam tahanan ISA. Al-Fatihah. Marilah sama-sama kita terus doakan agar ruh pejuang anak Tualang ini dicucuri rahmat Illahi dan berada dengan saf para syuhada. Dengan ainul yakin, hakikatnya Dr. B tak pernah terpenjara walau sedetikpun ...... hanya jasad yang dikepong jeruji besi namun jiwanya laksana angin yang menembusi ruang seantero pelusuk bumi – membisikan wadah perjuangan yang tak kenal pudar.

KERANGKA PEMIKIRAN – ANALISIS PELBAGAI PIHAK
Dalam arena politik, Dr. B mendasarkan wadah Islam sebagai landas perjuangan. Beliau adalah sosok pemikir yang terbaik dilahirkan dalam dekadnya, dan penggasas kepada siasah syar‘iyyah dan fiqh awlawiyyat Islam, dan faqih besar dalam mazhab. Pendekatan politiknya adalah berteraskan amalan perlembagaan dan undang-undang, dengan memilih cara aman untuk menuntut perubahan. Dr. B adalah tokoh reformis yang menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi tetap sebagai tokoh yang Islamis.
Ahmad Boestamam menulis tentang kekuatan pengaruh Dr Burhanuddin dan kecekalan perjuangannya: “Di atas segala-galanya, Dr. Burhanuddin al-Helmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran yang tepat, layak dan sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah “Bapak Kebangsaan Melayu” (Ramlah Adam 1993; Dr. Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM 1946-48).
Menurut penganalisis Dr. B banyak terpengaruh dengan arus pemikiran Islam moden sewaktu menuntut di India – seperti pemikiran Sayyid Ahmad Khan, Jamaluddin al-Afghani, Syed Ameer Ali (1849-1928), Aga Khan, Nehru dan Muhammad Ali Jinnah (pemimpin Islam Pakistan). Beliau juga dikata terpengaruh dengan cara ‘aman’ Mahatma Gandhi menuntut perubahan.
MEGAHNYA pohon TUALANG menjulang LANGIT berpasak DIBUMI – itu Dr. B
Kekanda kita, Almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmy mengharungi hidup seorang pejuang bangsa selama lebih kurang 41 tahun (1928-1969). Almarhum yob kita ini telah memimpin pertubuhan-pertubuhan penting seperti KMM (Kesatuan Melayu Muda), KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung), PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat-All Malayan Council of Joint Action), dan Persatuan Islam Sa-Tanah Melayu atau Parti Islam se-Malaysia (PAS). Apakah kita generasi muda Tualang tidak boleh berbangga dengan sebutir bintang yang bergermerlapan dalam kegelapan penjajahan tanah air. Ayuh anak-cucu-cicit Tualang ….sematkan semangat dari insan ini ……jadikan ia satu inspirasi bagi perjuangan yang masih belum selesai!...buat arwah kekanda ku ….dengarlah rintihan kalbu waris pusaka moyang Endin: “walaupun jasadmu hancur luluh dimamah zaman namun semangat wadah perjuangan kanda tetap hidup ….. saban hari berdengung membisik ke anak telinga…bila lagi! ..bila lagi! …akan kami kibarkan bendera kemenangan akhir zaman! Itu sumpah janji yang tak boleh dinodai!” 

Tiada ulasan: