Catatan Yang Ditampilkan

Sekapor Sireh

Bismillahirrahmanirrahim . Assalamualaikum para pembaca budiman. Semoga dirahmati Allah s.w.t. untuk diri dan keluarga. Tak dilupakan ...

Khamis, 8 Januari 2015

ANAK TUALANG MENONGKAH KEJAYAAN KEPOLISIAN

Di kala tanah air bertuah ini dibelenggu cengkaman pemberontakan komunis, lahirlah dibumi Tualang seorang bayi yang akan menyahut seruan kepahlawanan.  Tangisan kelahirannya pada tanggal 30 Marikh 1946 hanya diselangkan tujuh purnama selepas tentera Jepun mengibarkan bendera putih menandakan penyerahan kalah dalam episod perang dunia kedua pada Ogos 1945. Tanpa dibayangi seorang ayah yang ditakdirkan menyahut seruan Illahi ketika luka tali pusat masih kemerahan pada hari ke tujuh, bayi ini terus dibesarkan dalam suasana kekalutan darurat yang diistiharkan kerajaan terhadap militan Parti Komunis Malaya. Negara terus berhempas pulas dengan peperangan gerila, diselang seli keriuhan kemenangan dan kesugulan kekalahan – puluhan malahan ratusan perwira terkorban mempertahankan kedaulatan suci ibu pertiwi. Dalam tempuh huru-hara tersebut Zaini Md. Hasim mula menjejakan kaki ke alam persekolahan di Sekolah Melayu Changkat Tualang yang masih berdindingkan buluh dan beratapkan rumbia. Papan batu adalah ibarat komputer riba zaman kotemporari. Selesai darjah lima Zaini beralih ke SMC I di Anglo Chinese School Kampar pada 1957 sebelum berpindah ke Sekolah Rendah Sultan Yussof, Batu Gajah ke standard six sehingga Tingkatan V  pada tahun 1964. Perpindahan ini menurut beliau adalah disebab kesulitan untuk menaiki keretapi dari kota Bahru ke Kampar untuk ke sekolah – sampai sekolah lewat dan balik terpaksa awal sebelum kelas menutup tirai setiap hari. Ketika di Batu Gajah hanya perlu kayuh basikal tak lebih dari 6 batu pergi dan 6 batu (kurang lebih 10 km kiraan zaman sekarang) balik. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran ke Anglo Chinese School Ipoh. Tanggungan persekolahan disara oleh bonda kesayangan, Habibi bt Alang Abdullah (panggilan Wan Bi) dengan menoreh getah. Sempat menjadi guru sementara di Changkat Tin ketika menunggu keputusan SPM/SC  Januari hingga Mac 1965. Darah pahlawan yang mengalir dalam daging anak Tualang ini menyaksikan beliau menyarung uniform polis mulai 1 Jun 1965 ketika negara masih bergelut dengan isu keselamatan. Beban mengembalikan keamanan terletak dibahu anggota keselamatan terumatanya PDRM. Penulis percaya sebagai pegawai polis ketika zaman itu Dato’ Zaini pasti terlibat dalam perancangan dan pengendalian siri-siri operasi menentang kader komunis yang durjana. Anak kepada bekas warder penjara Batu Gajah ini tidak menoleh ke belakang lagi – tetapi terus setia berbakti menjaga keharmonian anak bangsa. Di atas kecemerlangan tugas, beliau miniti pangkat demi pangkat dalam pasukan sehinggalah ke pangkat terakhir sebagai SAC II dengan memegang jawatan Komander Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am sebelum bersara pada tahun 2001. Beliau pernah menjadi Ketua Polis Daerah Johor Baharu dan juga Daerah Muar sebelum bertukar ke negeri bawah bayu itu. Walaupun sibuk bertugas Dato’ Zaini masih gigih memperdalamkan ilmu di dada dan berjaya meraih sekeping Ijazah (Kepujian) dalam Sains Kemasyarakatan dari USM. Sebagai mengiktirafkan pengorbanan Zaini dalam dunia kepolisian, pemerintah telah mengurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Dato’ pada 2000.  Hidup berumah tangga Dato’ Zaini ditemani oleh Datin Madzinah bt Mansor yang juga telah bersara sebagai seorang Ketua Jururawat. Pasangan ini telah dikurniakan 3 orang anak dan 8 orang cucu. Anak sulong mereka adalah selebriti popular semasa iatu Dato’ AC Mizal, seorang pelakonpenyanyipengacara dan bekas penyampai radio Era FM.   Sesiapa anak Tualang yang kerinduan Dato’ Zaini bolehlah tenguk-tenguk televisyen selalu kerana iras Dato’ AC Mizal tak tumpah ayahnya.    

– di susun oleh azarae idris             

Tiada ulasan: